Rabu, 9 September 2009

JPJ akan bertindak tegas terhadap ibu bapa yang membenarkan anak memandu kenderaan tanpa lesen

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memberi amaran akan bertindak tegas terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan anak-anak atau ahli keluarga lain memandu kenderaan mereka tanpa lesen. Ramai kalangan ibu bapa yang memandang remeh soal itu dengan meminjamkan kenderaan kepada anak-anak tanpa memikirkan aspek keselamatan. Ibu bapa yang membenarkan anak-anak memandu kenderaan mereka tanpa lesen boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM1,000 dan penjara tiga bulan mengikut Seksyen 26(1)(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tindakan ini telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia, namun belum ada lagi tindakan sama dikenakan kepada ibu bapa di Sarawak setakat ini tetapi JPJ akan mengambil langkah serupa pada masa akan datang.
Penunggang dan pembonceng motosikal dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kes kemalangan jalan raya di negeri dan negara ini. Daripada 40,000 kenderaan baru yang didaftarkan di bahagian Kuching pada setiap bulan, 18,000 adalah motosikal, tiada lagi alasan untuk tidak memiliki lesen motosikal selepas kerajaan mengumumkan bayaran mendapatkan lesen itu dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September lalu. Bagaimanapun, JPJ belum lagi merancang untuk mengkaji semula had umur maksimum pemilik lesen kenderaan di negara ini. Pemilik kenderaan dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan memuaskan sebelum memulakan perjalanan balik kampung sempena perayaan ini.

Tiada ulasan: