Khamis, 10 September 2009

Kabinet Lulus Dasar Khusus Untuk Kebajikan 10.5 Juta Kanak-kanak Malaysia

Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Julai lepas merupakan penggubalan dasar yang khusus dan menyeluruh bagi kesejahteraan dan kebajikan 10.5 juta kanak-kanak di Malaysia.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dasar Kanak-kanak Negara menyokong dan melengkapi matlamat Dasar Sosial Negara dengan memberi hala tuju kepada semua pihak yang berkepentingan untuk memperdanakan kesejahteraan kanak-kanak dalam arus pembangunan negara.Ia merupakan dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

Pernyataan dasar itu penting dan bertujuan melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni, kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa. Secara amnya, enam objektif utama digariskan di bawah Dasar Kanak-kanak Negara iaitu setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial, selain setiap mereka termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi, dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

Dasar itu juga menetapkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka. Menurut kementerian, penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa. Berdasarkan objektif itu, sebanyak 29 strategi dirangka dan disusun di bawah teras-teras utama Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta komponen advokasi serta penyelidikan dan pembangunan. Selaras dengan penggubalan dasar itu, kementerian menyediakan Pelan Tindakan Kanak-kanak Negara yang memperuntukkan program atau tindakan yang perlu dijalankan oleh pihak-pihak terlibat dalam tempoh tertentu iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang.

Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara (DPKK) pula merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-kanak 2001. PKK bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi disamping menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak. Dasar itu penting memandangkan golongan ini merupakan kumpulan masyarakat yang perlu diberi perlindungan dan perhatian oleh ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan agar mereka dapat berkembang dalam suasana persekitaran yang selamat dan sejahtera. Strategi turut dirangka di bawah dasar ini dengan mengambil kira tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan serta penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan objektif DPKK tercapai. Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak juga disediakan dengan memberikan tumpuan khusus kepada tiga perkara iaitu Program Kesedaran Masyarakat, Kursus Perlindungan Kanak-kanak dan 'Template' Dasar Perlindungan Kanak-kanak.

Tiada ulasan: