Ahad, 20 September 2009

Projek Mitigasi Banjir Kuching

Beberapa kawasan kerap banjir di sekitar bandar raya ini akan bebas daripada masalah itu setelah Projek Mitigasi Banjir Kuching yang meliputi Sungai Padungan Fasa Dua siap sepenuhnya pada Ogos tahun depan. Projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (DID) yang menelan kos berjumlah RM18.4 juta itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di bandar raya ini.

Menteri Pembangunan Urbanisasi dan Pelancongan, Datuk Michael Manyin berkata, kerja mitigasi itu mungkin menyebabkan sedikit masalah dan kesulitan kepada orang ramai disebabkan penutupan beberapa jalan dan lencongan. Oleh itu, orang ramai diharap bersabar sehingga perlaksanaan fasa projek itu siap sepenuhnya tahun depan. Namun, kementerian beliau juga telah memaklumkan kepada pihak kontraktor untuk mengurangkan masalah sebanyak yang mampu.

Beliau juga telah mengarahkan DID agar bekerjasama dengan pihak kontraktor untuk menyediakan papan tanda yang berkenaan bagi kesenangan pengguna jalan raya. Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga telah mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan telah bersetuju menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua untuk melakukan kerja-kerja mitigasi banjir di bandar raya ini.

Sementara itu, Perunding Ju-rutera Minsar Sdn Bhd, Ronald Chai berkata, setelah projek fasa kedua itu siap nanti ia akan menyalurkan air parit dengan lebih berkesan dan mengurangkan banjir kilat, terutamanya di kawasan Jalan Mendu. Kawasan tadahan itu yang meliputi 400 hektar mengalir menerusi Sungai Padungan ke Sungai Sarawak berdekatan Pasar Petanak.


Laluan sistem perparitan fasa dua itu adalah sepanjang Jalan Mendu, Jalan Ellis, Jalan Pinang dan Jalan Tan Sri Datuk William Tan. Projek itu apabila siap nanti dapat mencegah banjir kilat di sekitar Jalan Mendu terutama di Sekolah Rendah Chug Hua No5. "Namun jika banjir besar berlaku akibat limpahan air Sungai Sarawak, saya tidak pasti. Apa yang kita dapat lakukan adalah mengurangkan kesannya,” kata Chai.

Tiada ulasan: