Jumaat, 25 September 2009

Cadangan Langkah Cegah Wanita Penan Daripada Penderaan Seks

Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (SWFC) Jumaat mencadangkan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan penderaan seksual di kalangan wanita dan anak gadis kaum Penan kepada Kabinet negeri. Pengerusinya Datin Fatimah Abdullah berkata majlis itu mencadangkan program kesedaran undang-undang, keselamatan diri dan pendidikan seks dilaksanakan bagi mendidik dan memberi kesedaran di kalangan wanita dan anak gadis Penan mengenai hak mereka daripada segi undang-undang dan melindungi diri mereka daripada penderaan seksual. SWFC telah membincangkan dengan panjang lebar langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi membantu dan mengelakkan wanita dan anak gadis Penan daripada eksploitasi seks. SWFC ingin membela mereka dan memperbaiki taraf hidup mereka, dan mencadangkan kepada Biro Wanita Sarawak untuk menggiatkan usaha dalam pendidikan dan program kesedaran kesihatan di tempat-tempat yang berisiko tinggi.
SWFC, sebuah badan penasihat kepada kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan mesyuarat hari ini kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya. Laporan Jawatankuasa Bertindak itu antara lain menyatakan kebergantungan kepada kenderaan syarikat-syarikat balak untuk berulang-alik ke sekolah dari rumah panjang mereka menyebabkan anak-anak gadis kaum Penan terdedah kepada penderaan seksual.Laporan itu mendakwa sekurang-kurangnya lapan kes rogol dan mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan kaum Penan oleh pekerja syarikat. Bagi mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada kenderaan syarikat pembalakan untuk ke sekolah, SWFC mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman, yang hanya boleh dilalui melalui jalan balak. Majlis juga bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Bertindak supaya lebih ramai Pembantu Pengurusan Murid dilantik untuk mengiringi anak-anak Penan ke sekolah.

Tiada ulasan: