Sabtu, 24 Oktober 2009

Ekasih, Projek Cari, Kenal Pasti Jumlah Kemiskinan

eKasih dan Projek Cari, dua inisiatif yang memberi sumbangan ketara kepada kerajaan dalam usaha mencapai sasaran menghapuskan dan mengurangkan kemiskinan kepada 2.8 peratus pada akhir 2010, menurut Laporan Ekonomi 2009/2010 yang dikeluarkan Jumaat.eKasih, satu pangkalan data bersepadu mengenai golongan miskin, dilancarkan pada November 2007 dan diselenggarakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Menurut laporan itu, pada akhir September ini, eKasih mengenal pasti dan mendaftar 229,723 isi rumah miskin yang terdiri daripada 49,519 golongan miskin tegar, 68,003 miskin dan 111,063 mudah miskin.


Projek Cari pula ialah program 'outreach' yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mulai Julai 2008 bagi mengenal pasti kes golongan kurang bernasib baik yang terpencil atau terpinggir. Hasil daripada inisiatif itu, jumlah penerima bantuan JKM telah meningkat daripada 159,483 kes pada Jun 2008 kepada 295,753 kes pada awal Oktober. Secara menyeluruhnya, pelaksanaan eKasih dan Projek Cari telah mengukuhkan lagi sistem penyampaian bantuan sosial dan memastikan golongan kurang bernasib baik tidak tercicir daripada mendapat bantuan dan sokongan yang sepatutnya daripada pihak kerajaan. Laporan itu berkata dalam usaha menggalakkan tanggungjawab sosial korporat, kerajaan memperkenalkan Program Amal Jariah dengan tumpuan bagi menbaiki rumah usang golongan miskin tegar. Kerajaan telah menyediakan RM100 juta sebagai geran sepadan dalam Bajet 2009 untuk membaiki 15,000 rumah, dan sehingga akhir September ini, sejumlah 8,893 rumah telah dibaiki.

Tiada ulasan: