Khamis, 8 Oktober 2009

Kerajaan Pusat Jamin Infrastruktur Sekolah Luar Bandar Akan Terus Ditingkatkan

Kerajaan pusat akan terus komited untuk meningkatkan tahap infrastruktur sekolah luar bandar di Sarawak bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan di kawasan itu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan pusat telah membelanjakan RM1.4 bilion untuk membiayai projek pembangunan pendidikan Sarawak. Ini menjadikan Sarawak antara negeri tertinggi mendapat pembiayaan projek-projek pembangunan pendidikan di negara ini.

Kerajaan pusat telah berusaha memastikan semua sekolah di luar bandar di Sarawak mendapat bekalan eletrik dalam RMK-9 apabila 367 buah sekolah dibekalkan dengan janakuasa eletrik yang beroperasi 24 jam dan 62 buah sekolah mendapat bekalan eletrik melalui sambungan awam iaitu bekalan dari pihak yang menyediakan bekalan eletrik. Pada hari ini, seluruh sekolah di Sarawak telah mendapat bekalan eletrik. Mengenai SMK Kuching High, beliau berkata, sekolah tersebut membuktikan kejayaan sistem pendidikan kebangsaan walaupun sejarah sekolah tersebut bermula sebagai sekolah persendirian Cina.


SMK Kuching High adalah sekolah yang pada asalnya merupakan sekolah persendirian Cina yang bersetuju mengikuti sistem pendidikan kebangsaan dan mengguna pakai kurikulum kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Dengan menyertai sistem pendidikan kebangsaan, sekolah ini telah mendapat banyak manfaat dari segi bantuan yang diberikan oleh kerajaan untuk pembangunan akademik dan kurikulum. Secara keseluruhan 78 buah sekolah jenis itu di seluruh negara dan dalam RMK-9 ini sebanyak RM3.1 juta diperuntukkan bagi sekolah jenis tersebut berbanding RM750,000 dalam Rancangan Malaysia ke-8.Beliau memuji usaha pihak pengurusan sekolah tersebut yang berusaha untuk membina semula blok baru bangunan yang terbakar pada 2 Disember tahun lepas dengan mengunakan pelbagai inisiatif antaranya mengutip derma.


Selain peruntukan RM1.5 juta yang diberikan, Kementerian Pelajaran akan membantu menambah peruntukan pembinaan blok tersebut berdasarkan kaedah geran sepadan bagi membantu pihak pengurusan sekolah yang kini kekurangan RM2.1 juta untuk meneruskan pembinaan blok bangunan baru tersebut. Jikalau berjaya kutip RM1 kita akan sumbang RM1 dan sekiranya mendapat RM1 juta, Kementerian akan tambah RM1 juta menjadikan jumlah RM2 juta.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kerajaan negeri akan membantu pembinaan blok baru bangunan SMK Kuching High dengan memberi sumbangan sebanyak RM250,000 pada tahun ini dan meningkatkan lagi jumlah pada tahun seterusnya. Pengerusi Jawatankuasa pembinaan semula blok baru bangunan SMK Kuching High Kuek Eng Mong berkata, setakat ini sebanyak RM4.3 juta dapat dikutip hasil daripada sumbangan Kementerian Pelajaran, sumbangan dermawan dan penganjuran pelbagai aktiviti mengutip derma diadakan sepanjang tahun ini. Dipecahkan kepada tiga fasa, pembinaan semula itu melibatkan makmal sains, blok pentadbiran dan kelas dengan fasa pertama dijangka siap pada pertengahan tahun depan manakala fasa seterusnya bergantung kepada peruntukan kewangan.

Tiada ulasan: