Jumaat, 16 Oktober 2009

Jangan Eksploitasi Kaedah Pemilihan Baru


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada anggota Umno supaya tidak mengeksploitasi kaedah baru pemilihan jawatan dalam parti. Presiden Umno itu berkata walaupun sistem pemilihan jawatan itu lebih ketat, namun ia menjurus kepada anggota parti untuk membuat perubahan supaya menjadi lebih baik."Kita nak ubah manusia, susah. Jadi kita buat satu sistem yang lebih ketat supaya orang buat perubahan. Lambat laun mereka ini jadi orang baik, insya-Allah."Saya beritahu, jangan sekali-kali merosakkan, mengeksploitasikan sistem yang baru ini. Kita serius, jangan...minta maaf. Kalau cuba (lakukan) alamat masing-masing tanggung (padahnya)," katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno 2009.


Kaedah pemilihan baru yang menuntut anggota Umno membuat perubahan adalah bagi menampilkan imej Umno yang bersih, berintegriti dan disenangi oleh rakyat. Bila rakyat lihat Umno, parti ini betul-betul nak tolong, nak bantu, nak jadi juara kepada rakyat. Bukan kalut dan berbalah sesama kita."Bukan kita nak dapatkan kontrak...boleh, tetapi kita mesti boleh buat kerja. Saya nak Umno menjadi juara kepada rakyat," katanya.Dalam pada itu, beliau cukup yakin Umno kini sudah bersedia untuk membuat perubahan dan berjaya sebagai sebuah parti yang kuat. Keyakinannya itu berdasarkan kepada semangat "luar biasa" yang ditunjukkan pemimpin Umno ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini."


Saya katakan perhimpunan agung kali ini antara yang terbaik sejak saya mula menghadirinya pada 1976 kerana saya melihat, kita telah menghadapi ujian yang begitu besar dan selama setahun saya agak gusar, gundah gulana hati saya melihat sama ada anggota parti sudah pulih daripada segi semangat."Sudah boleh bangkit semula atau tidak? Sudah sedar atau pun tidak? Sudah benar-benar insaf atau tidak. Maka hari ini apabila saya berdiri di hadapan tuan-tuan, segala kesangsian itu sudah luput sama sekali."Saya berani katakan dan cukup yakin bahawa Umno pada saat dan ketika ini bersedia untuk bangkit, bangun sebagai satu kekuatan baru," katanya.Bagi memastikan Umno menjadi kuat, Najib mengingatkan pemimpin dan anggota Umno supaya membuang kelakuan atau perangai yang tidak baik dan perubahan itu tidak semestinya melibatkan peruntukan.


"Kalau berubah dari malas jadi rajin, tak perlu peruntukan. Kalau siang, malam turun bawah jumpa rakyat, tak perlu peruntukan, dia boleh kerja."Selepas itu kalau dia jenis sombong, sekarang dia bersifat rendah diri, tidak perlu peruntukan. Kalau dia suka berdebat kepada suka bekerja. Tetapi kalau nak tambah aktiviti atau program, kita sanggup beri peruntukan tambahan," katanya.Dalam pada itu, Najib melihat semangat anggota Umno berkobar-kobar untuk membuat perubahan bagi memastikan parti itu menjadi lebih kuat."Saya nak tanya adakah tuan-tuan bersedia untuk berubah, bekerja, mendekati rakyat, jadi parti yang kuat, berkhidmat untuk rakyat," soalnya, disambut laungan "Ya" oleh hadirin di Dewan Merdeka, tempat berlangsungnya perhimpunan."Jadi kita sudah bersedia, semboyan sudah berbunyi. Marilah kita bingkas bersama...ke desa, kota sebarkan Umno. Kuatkan semangat kita untuk berjuang habis-habisan. Insya-Allah Umno akan menjadi parti yang kuat dan berjaya," katanya.

Tiada ulasan: