Sabtu, 3 Oktober 2009

Tolak politik caci Sarawak

Keadaan politik di Sarawak tidak harus dipengaruhi oleh politik dari luar yang cuba untuk merosakkan keamanan dan kemakmuran negeri ini. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat negeri ini tidak harus membiarkan politik mencaci dan menyalahkan antara satu sama lain berlegar di negeri ini kerana takut permainan politik sebegitu boleh merosakkan Sarawak.

Kita bukan bermaksud merendah-rendah keadaan politik dari luar tetapi kita ingin melihat disiplin yang wujud dalam negeri ini kekal dan kejayaan yang ada sekarang dapat mencapai tahap yang lebih tinggi supaya negeri ini dapat duduk sama tinggi dengan tempat yang lebih maju. Tumpuan kita juga bukanlah kerana duit dan untuk mendapat kekayaan sematamatanya kerana selalunya ia akan menghadirkan kekecewaan dan kekayaan pula tidak akan menjamin kebahagiaan. Disebabkan itu, pendekatan displin yang lebih teratur dalam membangunkan negeri dan rakyat harus dikekalkan.

Menurutnya, apa yang berlaku di Sarawak ialah keadaan negeri ini yang kini melalui fasa pembangunan yang baik. Justeru, bagi mengekalkan keadaan baik itu tindakan orang luar yang cuba mencaci dan merendah-rendahkan keadaan pembangunan dan rakyat di negeri harus ditentang supaya semangat rakyat untuk terus maju tidak luntur. Kerajaan ada perancangan yang rapi untuk membawa Sarawak menjadi sebuah negeri yang paling maju di Malaysia,” katanya dan menambah dengan pematuhan disiplin yang ada impian itu pasti akan tercapai mengikut aturan sosial yang betul. Rakyat semuanya sama taraf, dan kerajaan tidak membezakan serta memandang rendah rakyat Bandar dan luar bandar, namun mereka yang mempunyai kepandaian dan berusaha untuk maju akan menjadi modal besar kepada negeri ini.
"Kita tidak mahu apabila senang kita tidak peduli dengan orang lain yang susah. Dalam menjalankan semangat 1Malaysia masalah terpencil tidak harus dipinggirkan dan ia seharusnya ditangani bersama dalam masyarakat. Inilah asas politik kita, bukan untuk mengambil jawatan, kuasa dan duit. Perjuangan kita bermakna menolong orang yang dalam kesusahan dan menjadikan negara ini baik serta bersatu,” hujah beliau.

Begitupun Ketua Menteri melihat kejayaan konsep 1Malaysia sedikit terjejas berikutan munculnya politik yang merendah-rendahkan kekurangan rakyat di negeri ini. Keadaan rakyat di negeri ini sebenarnya tidak begitu dan kita tidak meminggirkan mereka. Masa depan ekonomi rakyat di negeri ini juga bertambah baik kerana hari ini bukan sahaja masyarakat Cina, malahan Bumiputera juga mampu menjadi jutawan. Disebabkan itu, katanya: “Jangan memandang keadaan rakyat di negeri ini dengan mata yang kabur dan hanya melihat yang jahat sahaja kerana apabila keupayaan rakyat direndah-rendahkan ia seolah-olah memperlihat rakyat gagal dan menghilangkan semangat mereka”.

Tiada ulasan: