Sabtu, 24 Oktober 2009

Kerajaan Bina 50,000 Rumah PPRT Menjelang 2012

Kerajaan akan membina 50,000 buah rumah perumahan rakyat termiskin (PPRT) di seluruh negara di bawah peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan dijangka siap menjelang 2012, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Di bawah NKRA, sebanyak RM12 bilion diperuntukkan khusus bagi menyediakan projek rumah PPRT berkenaan selain projek jalan raya, bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar. Rumah PPRT bernilai RM33,000 bagi setiap unit di Semenanjung Malaysia dan RM44,000 di Sabah dan Sarawak, akan diberikan secara percuma tanpa ada sewa atau bayaran apa-apa kerana kita telah kenalpasti mereka daripada golongan miskin. Kementerian juga membentuk satu jawatankuasa khas di peringkat negeri-negeri untuk mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai untuk didirikan rumah PPRT ini kelak. Pembinaan 1,500 kilometer jalan raya di Sabah dan Sarawak serta kerja-kerja penurapan jalan yang terletak lima kilometer daripada jalan bertar di Semenanjung Malaysia telah dimulakan dan dijangka siap tiga tahun lagi. Sebelum ini kebanyakan penduduk terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak tidak mempunyai kemudahan jalan dan terpaksa menggunakan alternatif lain seperti bot bagi membolehkan mereka membawa hasil pengeluaran atau menghantar anak ke sekolah. Kementerian juga akan menggunakan pendekatan teknologi yang baru di mana kawasan-kawasan yang tidak ada bekalan elektrik yang mencukupi, akan disediakan set generator atau kuasa solar bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati seluruh penduduk di kawasan terpencil terutamanya. Kementerian juga akan mengutamakan penyediaan bekalan air bersih dan air yang dirawat khususnya bagi kemudahan penduduk di luar bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tiada ulasan: