Jumaat, 30 Oktober 2009

Pengguna jalan raya di Sarawak yang sering melanggar undang-undang trafik tidak akan dapat lari daripada tindakan penguatkuasaan apabila lapan lokasi di negeri ini dijangka dipasang dengan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Abdul Hamed Akob berkata, kajian fasa pertama untuk mengenalpasti lokasi pemasangan AES jalan raya dari Kuching ke Miri sudah selesai. Antara lokasi yang dikenalpasti ialah Jalan Sultan Tengah, Jalan Tabuan Jaya, Jalan Kota Samarahan, Jalan Kuching-Serian, Jalan Sri Aman-Sarikei, Jalan Kidurong di Bintulu dan Luak Bay di Miri.

Bagaimanapun lokasi-lokasi tersebut mungkin berubah atau ditambah dari masa ke semasa bergantung kepada keadaan. Buat masa ini JPJ belum lagi mengetahui bila AES akan dipasang dan beroperasi di Sarawak namun selepas fasa pertama selesai tumpuan akan diberi kepada pemasangan AES di lampu trafik serta lokasi strategik. Kajian fasa kedua melibatkan pemasangan AES untuk merakam kesalahan trafik yang sering dilakukan iaitu melanggar arahan lampu isyarat, memandu melebihi had laju dan memotong kenderaan di garisan berkembar.AES merupakan kamera pemantauan automatik yang akan diletakkan di kawasan yang sering berlaku kemalangan di lebuh raya dan jalan persekutuan serta beroperasi selama 24 jam.



Pada 20 Julai lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri dilaporkan berkata menerusi AES, semua kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya akan direkodkan melalui kamera automatik itu dan saman dikeluarkan serta-merta menerusi sistem komputer JPJ. Pemandu yang dikesan melakukan kesalahan dan enggan membayar kompaun akan mendapati sukar untuk memperbaharui cukai jalan selain daripada berdepan dengan tindakan undang-undang lebih tegas.Dalam perkembangan lain, dari tempoh Januari hingga bulan lepas sebanyak 51,138 pelbagai jenis kenderaan baru berdaftar dengan JPJ Sarawak.

Tiada ulasan: