Ahad, 20 Jun 2010

DAP "Gagal" Di Perak

“RETAK menanti belah” Itu tanggapan banyak pihak tentang masa depan DAP Perak. Seorang lagi ADUN Malim Mawar dari Parti DAP YB K.Keshvinder Singh di Perak mengumumkan keluar parti. Realitinya pergolakan yang berlaku di dalam parti pembangkang itu bukan perkara baru. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Datuk Hee Yit Foong bertindak keluar daripada parti tersebut. Tindakannya itu mengundang pelbagai tuduhan negatif terhadap beliau. Beliau terpaksa berdepan dengan cacian dan pandangan serong pengundi di kawasannya. Semua kerana mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan. Malah ada suatu ketika, Yit Foong dikatakan lebih suka ‘menyembunyikan diri’ kerana kurang yakin untuk berada di khalayak ramai. Anugerah ‘Datuk’ kurniaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sempena hari keputeraan baginda yang ke-82 baru-baru ini juga dikaitkan dengan sikapnya yang dituduh berpaling tadah.


Masa berlalu dan hari ini, seorang lagi ADUN DAP mengambil tindakan serupa. Ironinya, alasan diberikan oleh Yit Foong lebih setahun lalu mengapa beliau nekad meninggalkan parti, tidak banyak beza dengan yang diperkatakan oleh ADUN Malim Nawar, K. Keshvinder Singh. Kedua-duanya kecewa dengan kepemimpinan parti yang dilihat lebih cenderung berjuang atas dasar dan kepentingan peribadi semata-mata. Kesusahan rakyat bukan lagi menjadi matlamat utama sebaliknya sibuk mengatur strategi untuk merampas kembali kuasa yang hilang.


Seperti Yit Foong, Keshvinder juga sedar bahawa janji-janjinya kepada rakyat semakin lama semakin sukar untuk ditunaikan. Apabila pucuk pimpinan parti tidak menghiraukan rakyat, tempias itu juga terpalit kepada mereka. Justeru, langkah terbaik yang dilakukan ialah meninggalkan parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN). Bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan begini kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan maruah. Kalau bukan ada alasan kukuh, tiada siapa akan bertindak membelakangkan perjuangan yang dia percaya selama ini.


Melihat perkembangan terbaru itu, krisis dalaman DAP Perak yang selama ini cuba dikaburi dengan baik, semakin jelas kelihatan. Ia umpama ‘iceberg’ apa yang kita nampak sebenarnya lebih teruk daripada itu. Lebih menghantui masa depan DAP ialah sikap pemimpinnya sendiri yang ‘pilih kasih’ dan tidak tahu menghormati sensitiviti kaum-kaum lain. Mereka fikir bila menang besar pada 2008, rakyat sokong dan mereka boleh buat apa sahaja termasuk membelakangkan institusi kesultanan.


Mereka silap kerana rakyat mahu melihat sejauh mana mereka berani bertindak selain dapat mengotakan janji-janji yang ditabur untuk memperjuangkan nasib rakyat. Nampaknya mereka gagal. Nasib DAP akan kembali seperti sebelum tsunami politik 2008. Orang Melayu atau kaum lain tidak akan menyokong mereka lagi kerana wajah sebenar mereka sejak dulu hingga sekarang sama sahaja.


Krisis DAP Perak mula tersingkap satu persatu sebaik sahaja pakatan pembangkang kehilangan kuasa dari segi undang-undang setelah tiga ADUN iaitu dua daripada PKR dan seorang DAP (Yit Foong), keluar parti untuk menyokong BN. Sebagai orang kurang upaya (OKU), Yit Foong dapat merasakan betapa beliau diketepikan hanya kerana kekurangan yang ada pada dirinya. DAP akan membantu semua golongan masyarakat, ternyata meleset. Yit Foong cepat menyedari hal ini dan terus meninggalkan parti itu.

Sejak itu, pakatan pembangkang diketuai DAP, terus-terusan ‘menyerang’ bukan sahaja Yit Foong tetapi kerajaan negeri BN yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Pelbagai usaha dilakukan termasuk menghina Yit Foong selain mempertikaikan kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan oleh Zambry.



DAP cuba mengalih pandangan rakyat dengan mengadakan demonstrasi jalanan, ‘mencemarkan’ DUN, menganjurkan‘sidang bawah pokok’ selain membelakangkan titah Sultan Perak yang mengiktiraf kerajaan negeri BN. Tindakan-tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh DAP, membuka pekung mereka sendiri. Rakyat mula bosan dan tidak lagi menghiraukan mereka.



Perasaan yang sama turut dikongsi oleh beberapa pemimpin pakatan pembangkang lain. Ada di kalangan mereka tidak mahu lagi campur tangan dan lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat. Mungkin disebabkan terlalu lama menunggu, Keshvinder terpaksa bertindak sendirian mengikut langkah yang dirintis oleh Yit Foong. Difahamkan, terdapat beberapa lagi ADUN pembangkang akan mengikuti jejak rakan-rakan mereka ini untuk menjadi ADUN Bebas.


Pembangkang akan tetap tuduh macam-macam walaupun kesalahan itu berpunca daripada diri mereka sendiri. Dalam hal ini, situasi yang melingkari DAP, menguji kekuatan pakatan pembangkang secara keseluruhannya. Hakikatnya ‘ribut’ yang melanda parti itu tidak akan mampu diredakan dengan mudah tanpa perubahan drastik pucuk pimpinan. Keadaan bertambah sukar apabila penentangan terhadap Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dikatakan semakin hari semakin membara. Ternyata, apa yang berlaku di negeri itu menggambarkan kegagalan mereka untuk terus menjadi pentadbir kerajaan negeri yang baik kerana mereka hanya “membangkang untuk membangkang” sahaja.

Tiada ulasan: