Khamis, 10 Jun 2010

Pembangunan Sabah, Sarawak dapat tumpuan dalam RMK-10

Sabah dan Sarawak akan memperoleh lebih banyak jalan baru dan kemudahan asas seperti air dan elektrik yang akan meliputihampir seluruh negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Di bawah rangka rancangan lima tahun bermula dari 2011 hingga 2015 yang dibentang di Parlimen semalam, jalan sepanjang 2,540km akan dibina di Sabah dan 2,819 km di Sarawak. Sebagai strategi utama untuk memacu intergrasi domestik, infrastruktur jalan kampung yang baru akan dibina, terutama di Sabah dan Sarawak. Ini akan membantu memastikan mobiliti barangan dan penduduk dari kawasan pedalaman ke pasaran di bandar.


Juga, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak akan mendapat akses kepada bekalan air bersih yang meliputi tambahan 112,700 rumah di Sabah dan 87,000 rumah di Sarawak. Kedua-dua negeri itu juga akan menikmati 99 peratus liputan bekalan elektrik dengan bekalan di kawasan pedalaman diperluas kepada 59,000 rumah di Sabah dan 76,000 rumah di Sarawak menjelang 2015.

Di Sabah, tiga loji janakuasa akan mula beroperasi dengan kapasiti 700 MG, manakala di Sarawak, projek hidroelektrik Bakun dengan 2,400 MG akan beroperasi secara berperingkat. Kabel akan dibina dari Bakun ke Similajau di Sarawak dan projek transmisi lain di Sabah.


Pengangkutan udara dan air juga akan ditambahbaik untuk meningkatkan perhubungan di kawasan pedalaman dan ini termasuk menaik taraf landasan terbang, manakala pengangkutan sungai akan ditingkatkan sebagai pengangkutan awam terutama di Sarawak dan promosi produk pelancongan. Perkhidmatan rel akan ditingkatkan di Sabah dengan memodenkan kemudahan serta teknologi bagi meningkatkan akses ke kawasan pedalaman.


Kerajaan juga akan mengkaji kemungkinan meluaskan skop Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang baru ditubuhkan kedua negeri itu selepas pelaksanaannya di Semenanjung. Dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri itu, klinik bergerak, perkhidmatan ‘flying doctor’ dan kesihatan kampung akan diperluas ke kawasan pedalaman di bawah RMK10.


Memandangkan kerajaan menggunapakai strategi baru untuk membangunkan ekonomi bumiputera yang berkesan dan seimbang, perhatian khusus juga akan diberi kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga mensasarkan untuk menurunkan kadar kemiskinan di kalangan etnik minoriti di Sabah dari 22.8 peratus pada 2009 kepada 12 peratus menjelang 2015 dan di Sarawak, dari 6.4 peratus kepada tiga peratus. Bantuan khusus akan diberi secara terus kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak terutama etnik minoriti seperti Bisaya, Orang Sungei, Rungus, Suluk, Tidong, Penan, Kajang, Kedayan dan Kelabit. Ini termasuk mereka yang tinggal di rumah panjang serta di kawasan pedalaman.


Dengan hasrat kerajaan membantu kumpulan isi rumah 40 peratus terendah dalam negara, bumiputera di Sabah dan Sarawak akan layak untuk mendapat bantuan. Menurut Rancangan, 65 peratus daripada isi rumah berada di enam negeri iaitu Johor, Kedah, Perak, Sabah, Sarawak dan Selangor. Latihan keusahawanan dan peruntukan akan juga disediakan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak bagi memulakan perniagaan seperti inap desa dan perkhidmatan ekopelancongan. Inisiatif akan diambil bagi membantu etnik minoriti, yang kini bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan produk kraf tangan, untuk menubuhkan koperasi. Mengenai alam sekitar, enam juta hektar hutan di Sabah dan Sarawak akan dilindungi sebagai “Heart of Borneo” dan diklasifikasi sebagai kawasan sensitif bagi melindungi biodiversiti dan habitat.

Tiada ulasan: