Khamis, 10 Jun 2010

RMK-10 tingkat kualiti hidup

Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam memberi penekanan untuk mewujudkan persekitaran ko ndusif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat. Oleh itu, selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya agar kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Menyedari trend urbanisasi semakin meningkat, kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang mencukupi. Pelan Fizikal Negara kedua akan dimuktamadkan pada tahun ini di mana ia mempunyai perancangan strategik dan terurus untuk mewujudkan kawasan bandar mapan dan efisien.


Pada masa ini, 67 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar “Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan kualiti hidup bandar untuk memastikan bahawa faedah kepadatan tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan kesesakan atau ‘crime, grime and time’. Kerajaan juga mahu menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi. Kualiti hidup kawasan luar bandar juga tidak dilupakan. Liputan kemudahan asas di luar bandar akan ditingkatkan seperti jalan, bekalan air dan elektrik serta jaringan komunikasi.


Kerajaan menyasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer diSarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan yang melibatkan penyambungan bekalan air kepada 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.


Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar turut diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, kerajaan turut menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar. Kerajaan turut memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sistem kecekapan pengangkutan awam.


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat dengan menyediakan pengangkutan awam yang selamat dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.



RMK10 turut memberi tumpuan khusus mengenai aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat. Antara inisiatif utama kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan lapan hospital termasuk hospital-hospital pakar, 197 buah klinik dan juga tambahan 50 klinik 1Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama Rancangan ini.


Bagi merealisasikan hasrat utama kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat terutamanya yang berpendapatan rendah, kerajaan akan membina 78,000 rumah mampu milik di bawah rancangan itu. Kerajaan juga akan memperuntukkan RM500 juta bagi tujuan membiayai kerja baik pulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh kerajaan manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

Turut ditekankan oleh Perdana Menteri ialah tentang keselamatan awam memandangkan hasil peningkatan keselamatan dan ketenteraman awam akan membawa manfaat yang berharga kepada rakyat. Rondaan polis akan dipertingkatkan terutama di 50 “hotspots” iaitu kawasan kerap berlaku jenayah, yang akan dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam. Sebanyak 496 kamera litar tertutup (CCTV) sedang dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program “safe cities” (bandar selamat) juga terus dilaksanakan dengan menggembeleng tenaga 53 agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tiada ulasan: