Jumaat, 24 April 2009

Anak Pasangan Tukar Agama Kekal Agama Asal

Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.



Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya -- Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 -- kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu. Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak. Mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.K



Kabinet juga membuat keputusan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di mahkamah sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil. Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu. Tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu. Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa sultan. Sebagai langkah jangka pendek bagi kes Mohd Ridzuan, menteri yang bertanggungjaab bagi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri senator Datuk Jamil Khir Baharom, diminta memberi kaunseling kepada Mohd Ridzuan.

Tiada ulasan: