Sabtu, 11 April 2009

Kuasa Hidro Penting Bagi Sarawak

Sarawak tidak akan membiarkan rancangannya bagi mempergunakan potensi penjanaan tenaga elektrik hidro dihalang oleh mereka yang tidak berminat untuk melihat rakyat negeri itu menikmati kehidupan lebih selesa. Melabelkan mereka yang menentang rancangan pembangunan berkenaan sebagai melakukan satu perjuangan sempit, kumpulan itu gagal melihat masalah membangunkan Sarawak secara menyeluruh.



Sarawak perlu memanfaatkan kekayaan sumber air sebagai satu komoditi yang menjana keuntungan bagi membiayai perbelanjaan yang semakin meningkat bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri itu. Sebahagian daripada kuasa yang dijana daripada projek elektrik hidro akan digunakan dalam pembangunan industri di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang akan membuka banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kedudukan ekonomi negeri ini.



Sarawak merancang untuk membina 12 empangan elektrik hidro di sungai-sungai Ulu Air, Metjawah, Belaga, Baleh, Belepeh, Lawas, Tutoh, Limbang, Baram, Murum dan Linau. Rancangan itu turut menyaksikan pengembangan kepada Empangan Batang Ai. Kesemua empangan berkenaan akan menambah keupayaan penjanaan 2,400MW Empangan Bakun yang akan meningkatkan keupayaan penjanaan keseluruhan di Sarawak kepada 7,000MW menjelang 2020, satu peningkatan lebih 600 peratus daripada keupayaan semasa. Pengguna air akan berkongsi dengan kerajaan untuk menyediakan bekalan air bersih di negari ini.



Mengetepikan pendapat bahawa kerajaan sepatutnya tidak mengenakan bayaran terhadap pengguna bagi bekalan air, tugas untuk membekalkan air bersih kepada rakyat membabitkan perbelanjaan. Tidak ada mana-mana negeri yang boleh beri bekalan air bersih secara percuma, tidak kiralah parti mana yang berkuasa untuk memerintah. Tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR memberikan bekalan air bersih percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri itu telah menyebabkan kerajaan berhutang 114 juta untuk tempoh 3 bulan pertama.

Tiada ulasan: