Isnin, 20 April 2009

Sarawak Perlukan Tempoh Pendaftaran Kewarganegaraan Fleksibel

Kerajaan negeri akan mengemukakan permintaan kepada kerajaan pusat agar tempoh pendaftaran kewarganegaraan khasnya di kawasan pedalaman Sarawak dipanjangkan kepada tempoh yang lebih fleksibel. Tempoh pendaftaran selama 15 hingga 42 hari bagi pendaftaran kelahiran misalnya tidak mencukupi bagi penduduk yang tinggal di kawasan yang sukar dihubungi seperti Ulu Baram, Ulu Kapit, Ulu Banga, Ulu Julau, juga Lubok Antu. Tempoh pendaftaran yang singkat itu telah menyebabkan berlakunya kelewatan pendaftaran di kalangan penduduk dari kawasan berkenaan.

Kerajaan Negeri Sarawak akan mengajukan masalah ini kepada kerajaan pusat dan meminta mereka mempertimbangkan permintaan kerajaan negeri supaya tempoh pendaftaran kelahiran termasuk kematian, perkahwinan dan sebagainya dipanjangkan lagi khasnya untuk penduduk di pedalaman Sarawak. Perkara ini mesti dirujuk kepada kerajaan pusat kerana mereka mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan jika tidak ia akan membahayakan sistem dan sistem disalahgunakan.



Walaubagaimanapun kerajaan negeri masih belum menentukan tempoh pendaftaran fleksibel yang dimaksudkan itu. Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Amar Wilson Baya Dandot) akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melihat cadangan yang boleh dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dipertimbangkan. Kerajaan negeri juga akan membincangkan kadar bayaran bagi lewat pendaftaran dengan kerajaan persekutuan dengan mengambil kira masalah komunikasi atau perhubungan dan jelas dengan idea bayaran dikenakan.

Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk memberi semula kuasa kepada ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak untuk membuat laporan kelahiran bayi di kawasan masing-masing. Masalah lewat pendaftaran kelahiran dan sebagainya (di kawasan pedalaman) Sarawak akan dapat dikendalikan dengan lebih baik, cekap dan cepat dengan bantuan tuai-tuai rumah, ketua-ketua kampung dan kapitan-kapitan Cina yang berpengalaman.



Setiap tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina di kawasan pedalaman akan dibekalkan dengan borang maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan perlu diserahkan kepada penghulu untuk dihantar ke Pejabat Daerah sebelum diajukan kepada JPN. Semua tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina terutama di kawasan pedalaman atau ulu sungai dikehendaki menjadikan kerja-kerja mendaftar kelahiran bayi di kawasan mereka sebagai tugas utama. Ketua masyarakat juga diingatkan agar merekod kelahiran dan maklumat ibu bapa bayi dengan tepat supaya status warganegara bayi berkenaan tidak akan dipersoalkan. Ianya penting kerana maklumat awal seperti ini akan mengelak semua masalah status bayi atau kanak-kanak yang dilahirkan sama ada rakyat Malaysia atau tidak.

Tiada ulasan: