Jumaat, 24 April 2009

Lagi tambahan untuk S’wak

RM200 juta untuk baiki infrastruktur yang rosak akibat banjir, tambahan RM34 juta lagi wang ihsan untuk bantu mangsa banjir, petani.



Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM234 juta untuk Sarawak bagi membantu mangsa banjir dan membaiki infrastruktur yang rosak berikutan banjir awal tahun ini, melebihi jumlah yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam dan Penyelamat Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji untuk memberi bantuan kepada Sarawak, malah memberi peruntukan tambahan lebih RM100 juta.
Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada 13 Februari ketika berkunjung ke Sarawak tahun ini mengumumkan peruntukan RM115 juta untuk membantu Sarawak membina semula infrastuktur yang rosak selepas banjir Januari lalu.

Mereka bukan sahaja menunaikan janji, malah memberi lebih. Kita sudah menerima sebahagian daripada RM200 juta untuk membina semula kemudahan awam manakala bakinya akan disalurkan pada tahun ini atau 2010. Beliau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri menambah, Sarawak turut mendapat peruntukan tambahan wang ihsan berjumlah RM34 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir dan petani yang terjejas teruk.
Katanya, banjir yang terburuk pernah berlaku di negeri ini dianggarkan menjejaskan kira-kira 50,000 penduduk manakala 17,815 petani mengalami kerugian besar.







Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka datang ke Sarawak minggu hadapan untuk menyampaikan sebahagian daripada wang ihsan kepada mangsa. Daripada jumlah itu sebanyak RM6 juta sudah diagihkan kepada mangsa banjir manakala RM28 juta lagi akan diagihkan mulai minggu depan. Pengagihan wang ihsan ini dibuat secara berperingkat-peringkat, apa yang penting kita mahu pastikan bantuan ini sampai kepada mangsa. Mangsa banjir memerlukan bantuan itu dalam masa terdekat bagi memastikan mereka dapat bercucuk tanam semula dan membina rumah semula.

Tiada ulasan: