Ahad, 19 April 2009

'1Malaysia' Juga Perlu Membawa Maksud Malaysia Selamat Dan Terjamin

Konsep "1Malaysia" yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan terjamin, iaitu bukan sahaja bebas daripada sebarang jenayah tetapi juga kejadian tidak diingini dan bencana angkara manusia.



Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata wujud keperluan untuk melaksanakan idea "komuniti selamat" selaras dengan konsep "1Malaysia" di mana warganya hidup, bekerja dan bermain dengan selamat dan sihat. Di samping meningkatkan kesejahteraan kehidupan individu, komuniti yang selamat akan mewujudkan banyak manfaat bersama seperti persekitaran selamat untuk orang ramai, jenayah berkurangan, meningkatkan produktiviti dan daya saing, kos penjagaan kesihatan lebih rendah dan pengurangan perbelanjaan bagi menangani masalah sosial lain.



Pendekatan komuniti selamat merupakan perkara paling penting bagi pemimpin masyarakat, majikan dan kakitangan, anggota polis, anggota bomba, profesional keselamatan dan mereka yang mahu mewujudkan keadaan yang lebih baik di tempat tinggal atau kerja mereka. Tempat kerja yang sihat dan selamat akan membawa kebaikan kepada syarikat kerana ia bukan sahaja mengurangkan kejadian kemalangan dan kos perubatan malah akan dapat meningkatkan produktiviti dan semangat pekerja. Program komuniti selamat merupakan pembangunan bersepadu bagi budaya mementingkan keselamatan dalam komuniti yang meliputi keselamatan tempat kerja, kawasan sekolah, kawasan rekreasi, pencegahan jenayah dan lainnya.

Tiada ulasan: