Sabtu, 25 April 2009

Datuk Amar Abang Johari Presiden Baru Saberkas

Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kini presiden baru SABERKAS, pertubuhan belia pelbagai kaum terbesar di Sarawak. Beliau dengan sebulat suara dilantik memegang jawatan itu apabila Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memutuskan untuk melepaskan jawatan itu pada Perhimpunan Perwakilan tiga tahun ke-13 di sini hari ini, setelah menerajuinya sejak 28 tahun lepas.
Sebelum ini beliau memegang jawatan timbalan presiden SABERKAS. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar persekutuan Datuk Douglas Uggah Embass, salah seorang bekas naib presiden mengambil alih sebagai timbalan presiden baru SABERKAS apabila pencalonan beliau tidak dicabar. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri persekutuan Datuk Jacob Sagan juga mengekalkan jawatan naib presiden tanpa bertanding sementara Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah persekutuan Datuk Joseph Entulu Belaun dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT).
SABERKAS akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas tidak lama lagi untuk mengkaji semula perlembagaannya yang belum pernah diubah sejak penubuhannya pada 1973. Kita perlu mengadakan pelbagai perubahan baru untuk menyesuaikannya dengan persekitaran sekarang. Sebagai contoh di bawah perlembagaan sekarang, tidak ada peruntukan untuk mengendalikan subjek ICT yang kini sangat penting. SABERKAS yang kini mempunyai 132,000 anggota, akan membincang dan mengenal pasti cara-cara yang sesuai untuk menggunakan pinjaman RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri dalam mempromosikan kajian sains dan teknikal di kalangan orang muda di Sarawak. Ini penting untuk menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang relevan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Koridor Pembangunan Wilayah negeri atau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Tiada ulasan: