Ahad, 22 Mac 2009

JANGAN MUDAH TERPEDAYA DENGAN DAKYAH PEMBANGKANG "TIN KOSONG"

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini membidas ahli politik pembangkang yang diibaratkan sebagai tin kosong dari luar Sarawak kerana cuba menghasut rakyat dengan mainan politik masing-masing untuk mencemuh kerajaan. Ahli politik berkenaan hanya pandai membuat komen dan mengkritik kerajaan tetapi tidak mampu membawa perubahan kepada penghuni di rumah panjang atau menyemai pemikiran sihat bagi mencapai lebih banyak kejayaan untuk pelbagai komuniti di negeri ini.


Kami di Sarawak menghormati pembangkang tetapi hanya mereka yang menyumbang ke arah kemajuan negara ini, dan hanya mempunyai sedikit masa untuk ahli politik yang bertindak sebagai pengkritik sahaja. Kerajaan berusaha keras untuk memajukan negara walaupun menghadapi kekurangan sumber, katanya semasa melancarkan Pesta Birumah 2009, sebuah festival kebudayaan masyarakat Bidayuh di Serian.

Masyarakat Bidayuh, yang merupakan lapan peratus daripada 2.5 juta jumlah penduduk Sarawak, perlu sentiasa berwaspada dengan corak politik yang diamalkan oleh pembangkang demi meneruskan kejayaan dan mengekalkan perpaduan. Menyentuh mengenai skim penempatan semula serta pampasan tanah yang disediakan kepada penduduk Bidayuh yang terjejas dengan projek empangan hidro Bengoh dekat sini, kerajaan negeri berusaha keras selama lebih 40 tahun untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pelbagai kumpulan etnik yang berselerak di negeri itu.


Di sebaliknya, pembangkang tidak boleh menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas seperti pemberian RM1,000 untuk setiap keluarga sebulan di Selangor. Mereka kekurangan pengalaman untuk mentadbir kerajaan negeri walaupun memerintah 4 lagi negeri di Semenanjung. Malaysia berada di ambang mencapai status negara maju dengan keupayaan membasmi kemiskinan. Masyarakat Bidayuh, yang mempunyai kadar nisbah graduan paling tinggi di kalangan masyarakat Bumiputera di Sarawak, telah menyesuaikan diri dengan arus kemajuan sejak kemerdekaan. Kawasan Bidayuh yang terletak berdekatan dengan pusat bandar dan kawasan pembangunan telah membolehkan masyarakat itu dengan mudah terdedah kepada aktiviti ekonomi dan membantu mereka menghargai kepentingan pendidikan.

Tiada ulasan: