Sabtu, 28 Mac 2009

DS Najib Garis Tiga Konsep Penting Ekonomi

Presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tiga konsep penting ekonomi untuk membawa negara ke landasan yang lebih tinggi dan kukuh pada masa depan, iaitu ekonomi bernilai tinggi, ekonomi berasaskan inovasi dan produktiviti serta kreativiti --yang akan melonjakkan ekonomi negara.



Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sering menegaskan betapa pentingnya nilai tambah tetapi saya berpendapat nilai tambah itu perlu digandingkan dengan nilai tinggi. Contoh ekonomi nilai tinggi yang boleh diceburi usahawan ialah perusahaan burung Walit yang memberikan pulangan lumayan, yang boleh dijayakan di banyak tanah terbiar di bahagian Pantai Timur dan kawasan lain di seluruh negara.Timbalan Perdana Menteri turut mencadangkan beberapa perusahaan nilai tinggi lain yang boleh diceburi usahawan tempatan termasuk rumpai laut untuk pasaran eksport ke Jepun dan negara lain. Selain itu, terdapat juga syarikat tempatan yang berjaya menceburi perniagaan ikan hiasan yang bernilai tinggi sehingga mampu disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.



Konsep penting yang kedua ialah penglibatan rakyat dalam bidang ekonomi berasaskan inovasi yang kini diutamakan di peringkat antarabangsa selepas ekonomi berasaskan pengetahuan. Usaha perlu dilakukan oleh negara untuk memastikan rakyat mampu menguasai ekonomi berasaskan inovasi termasuk menerapkannya di dalam sistem persekolahan. Kita akan memastikan sistem persekolahan negara mempunyai kemampuan untuk menghasilkan murid-murid yang berkemampuan untuk berinovasi.



Konsep ketiga ekonomi yang harus diutama ialah membabitkan aktiviti dalam bidang produktiviti dan kreativiti. Timbalan Presiden Umno itu turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh anggota perwakilan seperti cadangan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melantik lebih ramai pemimpin Umno menganggotai lembaga pengarahnya. Beliau berkata pelantikan pemimpin Umno sama ada sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah GLC itu perlu berasaskan kepada kemampuan mereka memberi nilai kepada syarikat terbabit.

Tiada ulasan: