Ahad, 8 Mac 2009

RM202 Juta Bina Rumah Baru Keluarga Miskin Sabah, Sarawak

Sebanyak 5,050 unit rumah baru, termasuk rumah panjang, yang lebih selesa akan dibina untuk keluarga miskin tegar di Sabah dan Sarawak di bawah peruntukkan RM202 juta yang diberikan oleh kerajaan pusat. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata daripada jumlah itu sebanyak 2,550 unit dengan peruntukan RM102 juta akan dibina di Sarawak, dan selebihnya 2,500 unit membabitkan RM100 juta akan dibina di Sabah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

Projek pembinaan rumah baru itu juga turut meliputi pembinaan 145 unit rumah panjang yang bernilai RM6.38 juta di penempatan Seduku Baru, Batang Lupar, Sarawak serta lapan unit rumah panjang dengan setiap unit mempunyai 20 pintu bernilai RM6.4 juta di lapan daerah di Sarawak. Daerah terbabit ialah Limbang, Miri, Bintulu, Kapit, Mukah, Sarikei, Betong dan Sri Aman, yang terbabit dengan insiden kebakaran rumah panjang baru-baru ini. Sementara itu RM50.4 juta lagi akan digunakan untuk projek individu.

Rumah-rumah berkenaan adalah sebahagian 17,000 unit rumah baru lebih selesa, luas dan berkualiti untuk keluarga miskin tegar yang akan dibina di seluruh negara di bawah PBR, yang membabitkan kos keseluruhan RM500 juta. Setiap rumah berharga RM40,000 seunit. Kementerian akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Kementerian Perumahan Sarawak mengenai pelan rumah panjang standard yang sedang dibangunkan itu. Walaupun pembinaan rumah berkenaan adalah mengikut pelan yang standard yang telah dikeluarkan oleh pihak JKR, ia boleh diubasuai mengikut keperluan sesuatu masyarakat atau kaum.

Di Sarawak juga pembinaan rumah PBR akan disesuaikan mengikut keperluan dan lokasi sesuatu masyarakat, termasuk membina rumah di penempatan rumah panjang.Bagi memastikan pelaksanaan skim bantuan rumah itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan secara holistik, kementerian juga meminta kerajaan negeri termasuk yang dikuasai pembangkang membantu menyediakan tanah untuk tapak bagi membina rumah golongan miskin tegar, iaitu pendapatan isi rumah RM720 sebulan. Kementerian juga sudah meminta semua wakil rakyat mengemukakan maklumat terperinci mengenai keluarga termiskin di kawasan mereka, termasuk gambar dan status rumah berkenaan untuk tujuan tersebut. Terpulanglah kepada wakil rakyat kawasan untuk mengambil initiatif untuk mengesan golongan miskin tegar di kawasan, atau bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau parti politik untuk mendapatkan maklumat.
Akan tetapi janganlah sampai melimpasi kawasan orang lain pula, dan penduduk di kawasan sendiri tidak dimabil perhatian, sepertimana yang dilakukan oleh wakil rakyat DAP kawasan Batu Lintang yang melimpasi kawasan Batu Kawa untuk mencari golongan miskin tegar untuk mencari populariti sahaja..

Tiada ulasan: