Ahad, 15 Mac 2009

Calon BN Batang Ai

Bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai, Malcolm Mussem Lamoh berharap dapat memperkenalkan lebih banyak aktiviti pertanian komersial di kawasan pedalaman ini yang majoriti penduduknya kaum Iban.



Beliau mahu melihat sektor pertanian komersial secara serius agar masyarakat berusaha ke arah menjadi petani komersial. Mungkin ada beberapa projek yang boleh dinaik taraf kepada berskala komersial untuk pasaran. Mussem, 49, bekas jurutera Jabatan Pertanian Negeri, memiliki kelulusan Sarjana dalam Kejuruteraan Sistem Pengeluaran dari Warwick university, England dan Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia, Serdang.



Beliau berkata kekurangan pengetahuan yang berkaitan menghalang petani beralih daripada pertanian sara diri. Dengan keadaan ekonomi semasa, beliau percaya ada peluang untuk merancang sesuatu yang membawa manfaat, lebih-lebih lagi di sekitar kawasan hidro Batang Ai. Sektor perikanan dan agro-pelancongan adalah bidang yang memberikan pulangan jika diteroka selanjutnya, dengan tujuan memajukannya sebagai perniagaan penting yang lebih tersusun.



Beliau yang telah berkhidmat selama lebih 25 tahun dalam perkhidmatan awam, tahu benar bagaimana untuk berkhidmat kepada masyarakat di Batang Ai. Sementara itu, beliau bangga kerana dipilih sebagai calon BN/Parti Rakyat Sarawak bagi mempertahankan kerusi berkenaan, sambil menambah wakil rakyat Batang Ai sebelum ini, mendiang Datuk Dublin Unting, merupakan teman rapatnya. Marilah para pengundi Batang Ai memberi sokongan penuh kepada calon BN anak tempatan untuk meneruskan pembangunan kawasan Batang Ai.

Tiada ulasan: