Ahad, 22 Mac 2009

Rebat Tunai Pemilik Enjin Sangkut

Pemberian bantuan wang ihsan atau rebat tunai kepada 869 pemilik enjin sangkut sebanyak RM432,000 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, di Lubok Antu baru-baru ini, bukan umpan atau 'gula-gula' mahupun 'mi segera' daripada Barisan Nasional (BN) negeri menjelang pilihan raya kecil Batang Air, pada 7 April ini. Menteri Kemajuan Tanah, Datuk Seri Dr James Jemut Masing, berkata rebat itu adalah hak rakyat yang memiliki enjin sangkut di negeri ini, yang diminta kerajaan negeri daripada Kerajaan Pusat tahun lalu, ketika harga minyak negara melambung sehingga membebankan rakyat. Pemberian rebat itu bertujuan meringankan beban semua pemilik enjin sangkut di negeri ini berikutan kenaikan harga bahan api dan langsung tidak ada kaitan dengan kempen pilihan raya kecil berkenan.

Pemberian rebat itu kepada 869 pemilik enjin sangkut membabitkan RM432,000 di Lubok Antu hanya satu kebetulan dan tiada kaitan dengan kempen pilihan raya kecil terbabit. Mereka kumpulan pertama daripada pemilik 31,731 unit enjin sangkut di negeri ini sudah didaftarkan sebagai penerima wang ihsan itu sehingga 23 September lalu, dan dakwaan sesetengah pihak mengatakan pemberian itu sebagai umpan seperti mana ‘gula-gula’ untuk memujuk kanak-kanak atau ‘mi segera’ untuk kelaparan, menjelang pilih raya kecil itu tidak tepat. Ia kerana penduduk Kapit yang jauh di Sungai Rajang, juga akan menerima rebat yang sama, tidak lama lagi, sedangkan tidak ada pilihan raya akan diadakan di situ.

Tiada ulasan: