Sabtu, 28 Mac 2009

Peruntukan Tambahan RM200 Bilion Bagi Bajet 2010


Kerajaan berkemungkinan memperuntukkan kira-kira RM200 bilion lagi di bawah Bajet 2010, menjadikan peruntukan menjana ekonomi negara mencecah sekitar RM470 bilion bagi tempoh dua tahun.Ini berikutan pengumuman peruntukan RM206 bilion di bawah Bajet 2009 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta dua pakej rangsangan masing-masing berjumlah RM7 bilion dan RM60 bilion yang diumumkan Timbalan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan, yang dinobatkan sebagai Presiden Umno yang baru, berkata kerajaan yakin usaha-usaha melalui empat kumpulan peruntukan itu berjumlah sekitar RM470 bilion akan mampu untuk menjanakan ekonomi dengan lebih baik."Walaupun begitu, keberkesanannya masih bergantung kepada situasi ekonomi luar negara," katanya ketika menggulung perbahasan usul ekonomi di Perhimpunan Agung Umno 2008 di sini, Sabtu.Perbahasan usul ekonomi berlangsung semalam dengan pelbagai isu antaranya berkaitan krisis ekonomi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ketelusan perbelanjaan di bawah kedua-dua Pakej Rangsangan, diutarakan. Najib turut memaklumkan satu laman web khas mengenai pemantauan dan perbelanjaan pakej-pakej rangsangan akan dilancarkan dalam masa dua minggu lagi. Semua orang boleh mengakses laman web ini, menjadikan usaha kita terbukti telus dan terbuka. Ini semua dilakukan kerana keprihatinan terhadap tanggungjawab agar setiap sen dibelanjakan sampai kepada sasaran rakyat yang memerlukannya.

Kerajaan sebelum ini telah menubuhkan Unit Pengurusan Projek bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua Pakej Rangsangan itu berjalan lancar dan mengikut jadual.Najib berkata sejumlah RM1.5 bilion akan dibelanjakan sehingga akhir bulan hadapan dan RM2.5 bilion sehingga akhir bulan Mei. Ia akan melibatkan lebih kurang 32,000 projek pembangunan yang akan melibatkan kontraktor kelas F, yang juga penyokong kuat setia Umno. Mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau turut memperbetulkan dakwaan bahawa terdapat seorang Lembaga Pengarah terlibat dengan 60 buah syarikat. Beliau telah memeriksa perkara ini. Ini adalah tidak mungkin disebabkan mengikut peraturan terkini, seseorang hanya boleh menjawat 10 jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat yang tersenarai dan 15 jawatan dalam syarikat sendirian berhad.

Najib berkata kerajaan akan meneruskan program-program untuk kesejahteraan rakyat seperti jaringan keselamatan sosial di tengah-tengah ekonomi yang sukar.Katanya pada tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27.9 bilion subsidi antaranya bagi petrol, diesel, gas memasak, gandum, roti, gula, tepung, beras, buku teks, biasiswa, pendidikan, kesihatan, kebajikan, dan tol lebuh raya.

Tiada ulasan: