Ahad, 29 Mac 2009

Angka 9 Amat Bermakna Bagi Mussem

Bagi calon BN pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Ai, Malcolm Mussem Lamoh, angka 9 mempunyi pelbagai erti dan amat serasi dengan dirinya. Beliau berusia 49 tahun, lahir pada 1959, meletak jawatan daripada perkhidmatan kerajaan pada 19 haribulan (Mac), tarikh penamaan calon ialah 29 Mac, nombor bagi kawasan pilihan raya negeri Batang Ai ialah 29. Kebetulan pula, 9 merupakan angka yang amat bermakna bagi masyarakat Cina kerana ia membawa maksud "kekal".

Berbekalkan petanda awal yang amat disenanginya ini, Mussem yakin akan mencapai keputusan yang memihak kepadanya dalam pertandingan menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang pada pilihan raya berkenaan. Beliau sendiri sanggup bertungkus lumus bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan di Batang Ai. Oleh itu, penduduk Batang Ai patut beri peluang kepada beliau. Beliau juga telah melawat sebahagian besar kawasan berkenaan yang mempunyai 22,270 penduduk, kebanyakannya anggota masyarakat Iban, dengan 8,006 daripada mereka adalah pemilih berdaftar.

Berbanding lawannya, bekas jurutera Jabatan Pertanian Sarawak ini mempunyai kelebihan kerana beliau sudah biasa dengan kebanyakan tempat di daerah terpencil berkenaan, yang dikuasai selama tiga penggal oleh BN melalui Datuk Dublin Unting Ingkot, sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Feb lepas setelah uzur sejak sekian lama. Beliau yakin beliau lebih rapat dengan peringkat akar umbi, daripada kalangan kakitangan awam, hinggalah kepada penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan, berbanding calon PKR. Beliau juga percaya mampu berdikari dengan personalitinya dan kempen yang diadakan nanti sudah tentu memberi lebih banyak kelebihan kepada beliau.

Mussem tidak gentar berdepan dengan Jawah, yang pernah menjadi Anggota Parlimen BN selama lima penggal bagi kawasan Lubok Antu dan walaupun mereka bersahabat, tapi mempunyai ideologi berbeza. Mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan pilihan raya itu, Mussem berkata walaupun masalah akan terus wujud, tetapi beliau yakin akan dapat menyelesaikannya.

Tiada ulasan: